Bersempena dengan Maulidur Rasul ini, admin nak kongsikan sedikit tentang peribadi dan cara hidup Nabi Muhammad SAW kita. Khususnya pada hari ini ialah tentang bagaimana cara Nabi Muhammad SAW kita mengawal dan menjaga perniagaan Baginda sehingga sangat berjaya dan masyur.
Rasulullah SAW adalah manusia biasa, bukan malaikat dan
bukan pula anak Tuhan atau lain-lainnya. Beliau secara manusiawi sama dengan
kita seluruh umat manusia. Ayahanda beliau adalah Abdullah bin Abdul Muthallib,
ibundanya bernama Aminah, keduanya dari suku Quraisy di Mekah keturunan Nabi
Ismail bin Nabi Ibrahim AS.
Rasulullah SAW adalah Rasul pilihan Allah yang diutuskan
kepada umat manusia untuk membimbing mereka kepada hidayah Allah; berbuat yang
ma’ruf dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah. Sebelum kedatangan
Rasulullah SAW, manusia berada di ambang kehancuran lantaran kebudayaan yang
menyebabkan tertegak nya tamadun ketika itu telah hancur.
Ketika kemanusiaan sedang berada dalam kesesakan nafas di
ambang maut, Allah mengutuskan Rasulullah SAW untuk membangkitkannya semula dan
mengeluarkan umat manusia dari kegelapan kepada cahaya. Rasulullah SAW memecah
belengu-belengu jahiliah dan khurafat dan mengajak manusia kepada pengabdian
yang akan membebaskan mereka daripada segala bentuk ikatan lain. Dia
mengembalikan kepada mereka kebahagiaan hidup yang sebenarnya.
Itu semua biasa kita baca dalam buku-buku agama. Yang jarang
kita dengar ialah sifat keusahawanan atau ciri-ciri perniagaan Rasulullah SAW.
Baginda sudah mula berniaga sejak berumur 12 tahun. Di bawah
jagaan Abu Talib as, Rasulullah saw telah mula mengikut Abdul Talib as berniaga
sehingga ke Syria. Abdul Talib adalah mentor perniagaan kepada Rasulullah
ketika muda.
Dan Rasulullah merupakan ahli perniagaan yang hebat. Pada
suatu ketika, di waktu berniaga, Rasulullah telah memperoleh keuntungan lebih
dari usahawan-usahawan lain dalam rombongan yang sama. Oleh kerana kehebatan
Rasulullah saw dalam perniagaan, Baginda berjumpa dengan isterinya, Siti
Khadijah (yang juga seorang usahawan unggul) ketika berumur 25 tahun.
Perniagaan adalah perkara yang penting dalam Islam, malah
menjadi satu terminologi yang sering disebut dalam al-Quran, contohnya:
“Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan
tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada
mereka secara sembunyi atau secara terang-terangan, mereka mengharapkan sejenis
perniagaan yang tidak akan rugi(35:29)”
“Wahai orang-orang yang beriman. Mahukah Aku tunjukkan
sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak
terperi sakitnya? Yakni kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu
berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu,
yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui
(61:10-11)”
Kenapa Allah menyebut perniagaan dan bukan pekerjaan? Kerana
perniagaan itu ialah sesuatu yang menguntungkan dan memerlukan usaha tulang empat
kerat kita sendiri. Dan boleh juga merugikan sekiranya tidak dijalankan dengan
betul.
Dan Rasulullah sering disalah anggap sebagai miskin. Tidak,
Baginda seorang yang kaya. Cuma hidup yang dijalaninya tidak seperti
orang-orang kaya. Tiada rumah bertingkat-tingkat, tiada TV Plasma, tiada kereta
Ferrari. Tetapi apabila Baginda keluar berjuang, contohnya berperang. Baju
perang, pedang Baginda adalah dari yang terbaik, kuda-kuda perang adalah dari
jenis yang terbaik. Makna kata seluruh harta Baginda digunakan untuk
memperjuangkan Islam, bukan membuncitkan perut sendiri. Malah Baginda
Rasulullah pernah mengikat batu-batu ke perutnya untuk menahan lapar.
Rasulullah pernah bersabda tentang pemilikan harta:
“Harta itu merupakan kekayaan terpuji TETAPI hanya bagi
orang yang soleh, kerana orang yang soleh akan menggunakan hartanya secara
bijaksana, tidak dikotori rasa angkuh yang menghilangkan keberkatan dari
Allah.”
Ingin tahu cara Rasul Terulung kita berniaga? Teruskan
membaca.
Tidak Pernah Berdebat
Rasulullah dahulu ketika berniaga, tidak pernah menyakiti
hati peniaga lain. Hal ini diakui oleh mereka yang pernah berurusan dengan
Baginda SAW sebelum Baginda diangkat menjadi rasul lagi. Dalam satu peristiwa,
seorang peniaga bernama Saib bin Ali Saib datang menemui Rasulullah SAW.
Melihat Saib datang, Rasulullah berkata, “Mari, mari. Selamat datang saudara
saya, dan rakan niaga saya yang tidak pernah bertengkar,” kata Rasulullah .
Saib membalas dengan berkata, “Kita tidak pernah bertengkar sebab tuan peniaga
yang sentiasa lurus dan tepat dengan kiraan.”
Teknik Menjual Yang Unik
Mengikut riwayat, Nabi menjual barang-barang Baginda tidak
seperti diamalkan oleh kebanyakan peniaga atau lain-lain saudagar ketika itu.
Baik peniaga Arab atau pun bukan Arab. Biasanya para peniaga kebanyakannya
mereka menjual barang-barang dagangan mereka dengan meletakkan harga yang
setinggi mungkin. Tetapi Nabi menjualnya dengan cara memberitahu harga pokok
dan meminta para pelanggan atau pembeli membayar berapa harga yang mereka kehendaki.
Dengan cara ini pembeli merasa puas dan senang hati kerana
mereka merasa tidak tertipu oleh peniaga. Lalu mereka membeli dengan larisnya
sehingga barang-barang Nabi paling laku dan cepat habis berbanding rakan-rakan
Baginda yang lain. Selain itu Nabi juga mengambil sikap menjual pada harga
modal apabila sipembelinya seorang yang benar-benar miskin tetapi memerlukan
kepada barang itu. Baginda amat bertimbang rasa dan amat pengasihan belas
kepada sesama manusia. Manakah ada manusia yang menjual barang-barang
dagangannya dengan harga modal?
Sentiasa Senyum
Satu lagi daya penarik yang luar biasa yang telah menarik
para pembeli untuk mendekati barang-barang Nabi ialah sikap dan wajah Baginda
semasa berjualan itu. Selaku seorang insan yang sedia dijadikan Allah berwajah
kacak menawan dan gemar melemparkan senyuman kepada orang, maka Nabi telah
menggunakan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada Baginda itu. Dengan
wajah yang manis dan menawan dihiasi pula dengan senyuman yang manis, pastilah
keindahan dan keelokan yang terpancar di wajah seseorang itu semakin bertambah.
Walaupun tutur kata tidak seberapa , tetapi para pelanggan tetap menggemari
orang yang berwajah manis dan selalu memberi senyuman kepada orang.
Jujur
Baginda bersabda, “Peniaga yang dapat dipercayai dan
beramanah, akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat dipercayai dan
orang-orang yang mati syahid” (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi). Dalam konteks ini,
kejujuran ditekankan kerana kejujuran merupakan antara elemen terpenting dalam
perniagaan.Ketika kita berbincang mengenai perniagaan seorang Muslim, kita
sebenarnya sedang membincangkan satu konsep perniagaan yang membangunkan
hubungan kepercayaan di antara peniaga dan pelanggan, dan piawaian ini tidak boleh
dicapai dengan adanya dusta dan penipuan.
Pada suatu hari, Rasulullah berjalan-jalan di kawasan pasar
bandar Madinah. Baginda lalu di hadapan seorang peniaga yang menjual
buah-buahan yang dilonggok-longgokkan. Rasulullah memeriksa buah-buahan itu
dengan memasukkan tangannya ke dalam satu longgokan. Kemudian Rasulullah
menarik tangannya keluar dan menunjukkan jarinya yang basah kepada peniaga itu.
“Apa ini saudara ?” tanya Rasulullah. “Terkena hujan, tuan,” kata peniaga itu.
“Mengapa saudara tidak letakkan buah-buahan yang basah itu di sebelah atas
supaya orang dapat melihatnya ?” kata Rasulullah. Kemudian Baginda berkata
lagi, “Barang siapa menipu, dia bukan pengikut saya.”
Tidak Bersumpah Palsu
Dengan tegas, Rasulullah SAW mengecam amalan perdagangan yang
dipenuhi tipu daya. Apalagi sampai bersumpah palsu, mengandungi unsur riba atau
berbisnes di pasar gelap. Sebab, model menjalankan bisnes seperti itu tak saja
merugikan orang lain, tapi juga membuat perniagaan yang dijalankan tidak
lancar. Hal itu sebagaimana ditegaskan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis,
“Penjual dan pembeli memiliki hak pilih selama belum berpisah. Apabila mereka
jujur dan mahu menerangkan (keadaan barang), mereka akan mendapat berkat dalam
jual-beli mereka. Dan jika mereka bohong dan menutupi (cacat barang) akan
dihapuskan keberkatan jual-beli mereka.” (HR. Muslim) Rasulullah SAW
mengajarkan kepada para sahabat untuk tidak melakukan sumpah, selain
mengakibatkan kehilangan berkatnya.
Lemah Lembut
Baginda Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan sikap baik hati
dan lemah lembut ketika menjalankan perniagaan. Jabir telah meriwayatkan bahawa
Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “Allah SWT mencucuri rahmat kepada
orang yang berbuat baik ketika ia berjual, ketika ia membeli dan ketika ia membuat
tuntutan.”
Bukan Mengejar Harta Semata-mata
Rasulullah SAW bekerja keras mencari penghidupan yang halal.
Baginda menjalankan perniagaan bukan sahaja untuk menyara kehidupan Baginda
tetapi juga untuk mengukuhkan potensi Baginda agar orang yang kaya tampil ke
hadapan untuk menghulur modal mereka untuk digunakan oleh Baginda bagi tujuan
perniagaan.
Muamalah seperti ini amat digalakkan oleh Islam kerana
terdapatnya unsur bantu membantu di kalangan mereka yang berada dan tidak
berada. Firman Allah SWT dalam surah Al Ma’idah ayat 2: Bermaksud: “Dan
hendaklah kamu bantu membantu dalam perkara-perkara kebaikan dan taqwa dan
janganlah kamu sekali-kali bantu membantu dalam perkara-perkara kejahatan dan
permusuhan.”
Fasih Tutur Kata
Rasulullah SAW merupakan seorang yang mempunyai kefasihan
dalam tutur katanya. Tutur katanya lembut, lunak didengar, tidak pernah
berbohong dan sentiasa jujur. Oleh itu, tidak hairanlah apabila Baginda
mengendalikan perniagaan harta Khadijah, Baginda memperoleh keuntungan yang banyak.
Terdapat sebuah hadis yang menceritakan kefasihan Baginda yang telah
diriwayatkan oleh Al-Tarmizi dari Syaidatina Aishah: Bermaksud: “Adalah
Rasulullah berkata-kata dengan perkataan yang terang serta jelaslagi tegas,
dapat difahami oleh setiap orang yang mendengarnya (duduk bersama Baginda).
Keuntungan Maksimum Adalah Mungkin
Walaupun ada ustaz (penceramah) yang mengatakan untung hanya
boleh diambil sekitar 30% sahaja, namun kata-kata Rasulullah SAW lebih utama
untuk kita jadikan pegangan. Terdapat satu hadis sahih yang menceritakan,
seorang sahabat Nabi membeli dua ekor kambing dengan 1 dinar. Kemudian, sahabat
itu tadi menjual salah seekor kambing itu dengan harga 1 dinar. Bermaksud, di
tangannya ada seekor lagi kambing dan wang sejumlah 1 dinar. Sahabat itu datang
kepada Rasulullah dan kemudian menyatakan apa yang telah beliau lakukan
(menjual dengan cara begitu). Rasulullah tidak berkata apa-apa melainkan
mendoakan agar sahabatnya itu mendapat keberkatan dalam perniagaan yang
dilakukannya.
Ada lagi hadis sahih lain riwayat Abu Daud di mana
Rasulullah ditanya mengapa tidak ditetapkan keuntungan maksimum (kawal kadar
keuntungan). Lantas Rasulullah menyatakan, itu adalah satu ‘kezaliman’ untuk
para peniaga. Daripada dua contoh di atas berasaskan dalil yang sahih, kita
dapati tidak mengapa kita menaikkan keuntungan sesuatu jualan produk sehingga
100%. Cuma yang dilarang adalah menyorokkan barangan keperluan asasi manusia
pada ketika permintaan mendadak, dan dijual kembali apabila harganya dinaikkan.
Ataupun apabila pihak pemimpin (kerajaan) menetapkan sesuatu perkara, maka kita
wajib mematuhinya.
Maka, kepada para peniaga, marilah contoh cara-cara bisnes
Rasulullah SAW, yakni akan memperoleh pahala kerana mengikut sunah Baginda.
Wallahualam.
0 comments:
Post a Comment