[Sedih] Hasrat Bakal Graduan Tidak Kesampaian

Belum sempat untuk ke majlis yang sangat-sangat dinantikan oleh para graduan iaitu majlis konvokesyen. Tapi malang, dia telah kemalangan. Semoga dia terus bersabar ..

Hasrat Bakal Graduan Tak Kesampaian

HILIR PERAK – Jika mahasiswa lain teruja dan tidak sabar untuk menghadiri majlis konvokesyen yang menjadi simbolik berakhirnya sesi pengajian mereka, namun bagi Mohd Saiful Aiman Zulkifli, 20, dia terpaksa melupakan hasrat itu.

Dia yang sepatutnya menghadiri majlis konvokesyen di Pusat Latihan Sawit Malaysia (PALSMA) di Keratong, 10 Oktober depan kini hanya terlantar di rumah selepas terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung, 7 Ogos lalu.
Bapanya, Zulkifli Endut, 52, berkata, ketika kejadian, anaknya yang menunggang motosikal kemalangan dengan sebuah motosikal lain di kawasan Parit 4 Chenderong Balai, kira-kira jam 10 malam.
Katanya, akibat nahas itu, anak lelakinya itu mengalami kecederaan serius di kepala dania akan mengambil masa lama  untuk pulih sepenuhnya.
“Tengkorak Mohd Saiful retak dan otaknya mengalami pendarahan. Doktor kata, ambil masa untuk anak saya kembali normal berdasarkan kecederaannya itu,” katanya yang menerima kunjungan Pengerusi Biro Pendidikan Umno Bahagian Pasir Salak, Dr Faizal Tajuddin.
Zulkifli berkata, anaknya itu kini memerlukan penjagaan rapi dan dia serta isterinya Normah Mat Lazim, 45, akan memastikan Mohd Saiful diberi perhatian sepenuhnya.
Katanya, Mohd Saiful sangat lemah dan tidak boleh bergerak.
Pemuda malang itu hanya meminum susu menerusi tiub yang disalurkan menerusi hidungnya.
“Saya membelanjakan RM75 untuk membeli susu tepung disyorkan pihak hospital yang hanya bertahan untuk tiga hari.
“Selain itu saya juga terpaksa memakaikan Mohd Saiful lampin pakai buang yang perlu ditukar selalu,” katanya.
Bapa kepada lima cahayamata itu berkata, dia perlu membawa anaknya itu ke Hospital Teluk Intan pada pertengahan bulan ini bagi mendapatkan rawatan susulan.
Katanya, anak ketiga dari lima beradik itu juga tidak boleh bertutur secara normal, kesan trauma kemalangan terbabit.
“Dia hanya boleh memanggil ibu, bapa dan kakak dengan suara yang sangat lemah,” katanya.
Menurutnya, untuk meringankan bebannya bagi menampung kos penjagaan dan rawatan Mohd Saiful, dia akan meminta bantuan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Teluk lntan.
“Kami sudah puas menangis melihat penderitaan dialami anak saya ini. Kami sekeluarga berserah kepada ALLAH dan berdoa agar dia cepat sembuh,” katanya.
Sementara itu, Faizal berkata, beliau simpati kepada Mohd Saiful dan meminta keluarganya bersabar.
“Saya akan maklumkan kesulitan dialami mereka sekeluarga kepada Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman supaya mereka dapat dibantu,” katanya. –Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment