[Menarik] Cipta rekod, Tanglung bergerak terpanjang

Tanglung bergerak terpanjang cipta rekod Malaysia

Tanglung bergerak terpanjang cipta rekod Malaysia

SABAK BERNAM – Tanglung berkepala ular sepanjang 208 meter mendapat pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Record sebagai tanglung terpanjang bergerak yang pernah direkodkan di negara ini.

 Tanglung berkepala ular yang digerakkan set janakuasa menggunakan troli itu diarak sejauh satu kilometer dengan diketuai Ahli Parlimen Sabak Bernam, Mohd Fasiah Mohd Fakeh bersama-sama 3, 000 penduduk pelbagai kaum di sekitar kawasan itu, malam tadi.

 Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysia Book Of Record, Aziz Hamdan berkata, perarakan yang memakan masa sejam itu bermula dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lim Hua mengelilingi pekan Sabak Bernam dan kemudiannya kembali semula ke sekolah tersebut.


 “Perarakan pesta tanglung ini mencipta rekod barunya yang tersendiri apabila mengatasi rekod terpanjang sebelum ini yang pernah direkodkan di sebuah gedung beli-belah,” katanya kepada Sinar Harian.

 Beliau berkata, tanglung berkepala ular yang mempunyai ekor lampu berasaskan teknologi diod pemancar cahaya(LED) itu menjadi tarikan orang ramai ketika diarak di atas jalan raya.

Aziz berkata, pihak penganjur hanya membuat persiapan reka cipta tanglung itu dalam tempoh 21 hari selepas membuat permohonan bagi menjayakan projek itu lima minggu lalu.

 Menurut Aziz, tanglung bernilai RM15, 000 itu diperbuat daripada besi, kotak, kertas lut sinar selain dibalut menggunakan kain, dikukir dengan tulisan tangan dan menggunakan lampu LED.

 Sementara itu, Mohd Fasiah berkata, pesta tanglung itu mencipta satu lipatan sejarah paling bermakna di Sabak Bernam hasil daripada komitmen semua pihak dalam menjayakan perarakan tersebut.

Beliau berkata, selain mencipta sejarah, pesta itu juga mempunyai signifikannya dalam usaha menyemai perpaduan antara kaum apabila ia turut dimeriahkan dengan kehadiran masyarakat Melayu, Cina dan India.

 “Ini menunjukkan rakyat di Sabak Bernam bersatu dengan membawa harapan dan sinar baru bagi mengukuhkan lagi perpaduan yang lebih erat masyarakat berbilang kaum, selain memastikan satu rekod baru dapat dicipta,” katanya.

 Beliau turut merakamkan jutaan terima kasih kepada penganjur yang terdiri daripada Persatuan Anak Kelahiran Tahun Ular Sabak Bernam dan Lembaga Pengurus, PIBG dan Persatuan Alumni SJKC Lum Hua Sabak Bernam atas penganjuran tersebut.

 “Usaha yang digerakan seperti ini mencapai objektifnya dan saya kagum atas kesungguhan dan komitmen persatuan ini dalam menjayakan penganjuran tersebut,” katanya.

0 comments:

Post a Comment