Admin sangat tertarik sengan kambing ini.. Sifat keibuan dan kebolehannya berbeza berbanding kambing kebiasaan.. Kambing ini boleh dikategorikan sebagai kambing yang unik kerana melahirkan lebih dari seekor dalam satu masa.. ikuti lagi kisah kambing jenis Savana ini..
Induknya juga dikatakan mempunyai sifat keibuan yang tinggi. Ini menarik perhatian penulis melawat Ladang Bioteknologi Pembiakan terkini (ARB), MARDI, Kluang, Johor, yang menempatkan kawanan kambing berkenaan.
Menggunakan kenderaan pacuan empat roda, penulis bersama jurugambar mudah mendekati kawanan kambing berwarna putih yang dilepas bebas meragut rumput.
Lawatan penulis pagi itu ditemani Penolong Pengurus Ladang Arizal Lambak, Pengurus Ternakan Dr Zamri Zainir dan Penyelia Ternakan Mohd Azrin Abd Halim.
Meskipun sedikit terkilan kerana tidak dapat menyaksikan kelahiran kembar, sekurang-kurangnya dapat juga penulis mendekati haiwan itu.
Kebetulan induk Savanna baru saja diasingkan daripada anak-anaknya pada Ogos lalu untuk membolehkan proses mengawan dilakukan secara semula jadi.
Kesan pewarna hijau terdapat pada induk menandakan haiwan berkenaan baru saja ‘dipanjat’ kambing pejantan.
Di sudut lain kelihatan seekor kambing pejantan berusia lima tahun diasingkan daripada kawanannya untuk mendapatkan sperma berkualiti.
Baka yang berasal dari Australia itu antara lapan pejantan Savanna yang ditempatkan di Unit Kandang Daya Uji.
Pengarah Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik MARDI, Dr Azizan Abd Rashid berkata, penyelidikan dan pembangunan (R&D) bermula pada 2006.
Savanna sesuai dengan iklim Malaysia, selain mempunyai daya ketahanan tinggi terhadap persekitaran tropika dan penyakit.
Spesies berkenaan mempunyai prestasi pertumbuhan yang tinggi dalam sistem penternakan secara intensif dan semi-intensif.
Fasa penyelidikan asas bagi kambing Savanna mengambil masa kira-kira empat tahun.
“Dari aspek nutrisi, kami mengambil kira berapa banyak makanan tambahan dan ‘konsentrat’ diberikan. Itupun berpandukan kepada tahap-tahap pengeluaran.
“Contohnya untuk penjagaan anak, penilaian dilakukan terhadap jumlah susu, rumput dan dedak,” katanya.
Bagi kambing yang melalui proses kacukan katanya, jenis penjagaan dan pengurusannya juga perlu diberi perhatian.
“Ini termasuk dari segi makanan dan ia perlu dibezakan sehingga memperoleh pencapaian optima,” katanya.
Menurutnya, kesuburan ketika mengawan, proses pembiakan kambing Savanna turut menjadi kriteria penyelidikan.
“Kami juga menilai kesesuaian, jenis dan keluasan lantai. Dari segi rumput, ada beberapa jenis rumput yang sesuai.
“Tidak semua kambing itu menjadi bahan kajian, sebaliknya dalam 200 ekor hanya 20 ekor saja terbabit dalam kajian makanan rumput,” katanya.
Kambing itu juga sering diperiksa bagi memastikan bebas dari cacing.
“Penilaian kesihatan anak kambing juga meliputi masalah perut kembung dan penyakit pneumonia (radang paru-paru),” katanya.
Katanya, kumpulan penyelidik MARDI sangat berpuas hati terhadap baka kambing Savanna dihasilkan mereka dan diisytiharkan sebagai baka berpotensi untuk pengeluaran daging di negara ini sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) tahun lalu.
“Kejayaan itu diperoleh selepas tiga generasi kambing dilahirkan dan memenuhi syarat-syarat diperlukan industri,” katanya.
Menurutnya, Savanna, Kalahari dan Boer adalah spesies sama yang berasal dari Afrika Selatan.
“Ketiga-tiganya adik-beradik, cuma Kalahari berwarna merah dan Savanna pula putih.
“Sebelum itu, kami sudah membawa masuk kambing Boer pada 2002 dan merasakan spesies berkenaan mempunyai masalah kesuburan, kematian anak ketika dilahirkan tinggi dan mungkin kurang susu ibu,” katanya.
Dibandingkan antara ketiga-tiga jenis kambing berkenaan, didapati Savanna putih adalah spesies yang sangat baik.
“Kadar kelahirannya sangat tinggi antara 144 hingga 150 peratus berbanding Boer antara 120 hingga 130 peratus,” katanya.
Kambing Savanna katanya, tahan lasak dan jika dibiarkan meragut dan merumput di kawasan kurang baik pun, ia masih boleh hidup.
Berat lahir jantan antara tiga hingga empat kilogram, manakala berat betina mencapai 2.3 hingga 3.3 kilogram.
“Paling mengagumkan, kadar keguguran rendah 2.5 hingga 5.3 peratus berbanding kambing lain sehingga 10 peratus,” katanya.
Paling menarik, peratus kelahiran kembar bagi Savanna amat tinggi antara 45 hingga 70 peratus kelahiran kembar dua manakala peratus kelahiran tiga pula mencapai lapan hingga 13 peratus.
“Pengeluaran susu Savanna sama saja dengan spesies lain iaitu 1.5 hingga 2.5 liter sehari.
“Meskipun penjagaan anak kambing sama dengan spesies lain, ketahanannya terhadap serangan cacing sangat tinggi,” katanya.
Savanna yang matang memerlukan antara 200 ke 300 gram makanan bagi setiap ekor dalam sehari manakala keperluan anak pula antara 90 ke 100 gram sehari.
“Kambing jantan akan mencecah berat 53 kilogram ketika berusia setahun manakala betina pula mencapai berat 44 kilogram pada usia sama,” katanya.
Ladang itu di bawah anak syarikat MARDI, MARDITECH Corporation Sdn Bhd (MARDITECH) sebagai Perunding Pengurusan Projek (PMC) bagi mentransformasikan industri ruminan negara melalui inovasi pembiakbakaan dan bioteknologi.
“Selepas melakukan penyelidikan terhadap Savanna, kami menyerahkan usaha mengkomersialkan Savanna kepada pusat ARB,” katanya.
Sifat keibuan yang tinggi menjadi ciri paling unik pada Savanna dan jarang dilihat pada spesies kambing lain.
“Separuh kambing tidak mempunyai sifat keibuan dan tidak pandai jilat anaknya sebaik dilahirkan. Jika dibiarkan seperti itu, anak dilahirkan akan mati kerana tidak disusukan.
“Berbanding Savanna, perkara pertama dilakukan sebaik anak dilahirkan adalah dengan menjilat badan anak untuk dikeringkan.
“Savanna akan menyuruh anaknya bangun dan ia adalah naluri semula jadi ‘si ibu’. Haiwan itu menyusukan secara berdiri,” katanya.
0 comments:
Post a Comment